BEIJING, 31 Disember - Presiden China, Xi Jinping dalam ucapan akhir tahun pada Ahad berkata ekonomi negaranya telah mengharungi badai dan berkembang "lebih berdaya tahan dan dinamik" tahun ini.
Xi dalam ucapan yang disiarkan di saluran CCTV yang dikendalikan kerajaan turut berjanji bahawa China "pasti akan disatukan semula" merujuk kepada pulau Taiwan yang diperintah sendiri, yang didakwa Beijing sebagai miliknya.
Xi telah mengharungi 2023 yang mencabar dengan menerajui ekonomi kedua terbesar di dunia itu.
Pentadbirannya bergelut untuk mengekalkan pemulihan ekonomi dengan cepat serta membuang dasar sifar COVID yang membebankan setahun lalu.
Rekod pengangguran belia dan krisis hutang yang berterusan dalam sektor hartanah turut menyekat pertumbuhan China.
Angka rasmi yang dikeluarkan pada Ahad menunjukkan kemerosotan aktiviti kilang di seluruh negara semakin meningkat pada Disember, penguncupan bulan ketiga berturut-turut.
Penganalisis berkata Beijing mungkin bergelut untuk mencapai sasaran pertumbuhan tahunannya seperti yang diperkatakan iaitu kira-kira lima peratus, cita-cita paling rendah dalam beberapa tahun.
Beijing juga telah meningkatkan kempen tekanan terhadap Taiwan pada tahun ini.
Ketegangan semakin memuncak ketika pulau demokrasi itu bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya pada 13 Januari, dengan calon yang berhaluan kemerdekaan, Lai Ching-te mengetuai pilihan raya.
"Presiden China, Xi Jinping pada Ahad berkata China pasti akan disatukan semula," kata agensi berita Xinhua.
"Semua orang Cina di kedua-dua belah Selat Taiwan harus terikat dengan tujuan yang sama dan berkongsi kemuliaan dalam peremajaan negara China," lapor agensi itu dengan memetik kata-kata Xi.-AFP