fb fb fb fb fb

Mahkamah rayuan AS benarkan California larang penggunaan senjata api di tempat awam

Foto Reuters

CALIFORNIA, 31 Disember - Mahkamah rayuan persekutuan pada Sabtu memberi laluan kepada undang-undang California melarang membawa senjata api di kebanyakan tempat awam berkuat kuasa pada awal 2024.

Ini selepas panel hakim menangguhkan keputusan yang mengisytiharkan langkah itu tidak mengikut perlembagaan.

Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat (AS) ke-9 menggantung injunksi pada 20 Disember yang dikeluarkan oleh seorang hakim yang membuat kesimpulan bahawa undang-undang negara pimpinan Demokrat itu melanggar hak rakyat untuk menyimpan dan membawa senjata di bawah Pindaan Kedua Perlembagaan AS.

Panel tiga hakim mengeluarkan penangguhan pentadbiran yang menangguhkan injunksi buat sementara waktu sehingga panel Mahkamah Rayuan boleh mempertimbangkan untuk memberhentikan seketika perintah hakim mahkamah rendah sementara litigasi dijalankan.

“Keputusan ini akan membenarkan undang-undang senjata api California kekal diguna pakai sementara kami merayu keputusan di mahkamah daerah,” kata Gabenor California yang juga seorang Demokrat, Gavin Newsom dalam satu kenyataan.

Langkah itu, yang akan berkuat kuasa pada Isnin selepas Newsom menandatanganinya menjadi undang-undang pada September, digubal selepas keputusan penting pada Jun 2022 oleh Mahkamah Agung AS majoriti konservatif yang meluaskan hak senjata api di seluruh negara.

Mahkamah Agung dalam kes itu menghentam rejim permit senjata api New York yang ketat dan mengisytiharkan buat kali pertama bahawa hak untuk menyimpan dan memegang senjata di bawah Pindaan Kedua melindungi hak seseorang untuk membawa pistol di khalayak ramai untuk mempertahankan diri.

California, yang mempunyai beberapa undang-undang kawalan senjata yang paling ketat di Amerika Syarikat, adalah antara sekumpulan negeri yang mempunyai undang-undang yang sama seperti New York, berikutan keputusan Mahkamah Agung AS telah merombak peraturan senjata apinya.

Di bawah undang-undang baharu California, orang ramai tidak boleh membawa senjata tersembunyi di 26 tempat yang dikategori sensitif termasuk hospital, taman permainan, stadium, zoo dan tempat ibadat, tanpa mengira sama ada mereka mempunyai permit untuk membawa senjata tersembunyi.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN