fb fb fb fb fb

Lebih 19,000 murid sekolah Palestin dibunuh sejak 2023

FOTO AFP

RAMALLAH, 20 November - Bersempena Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut pada 20 Nov setiap tahun, Palestin menzahirkan penderitaan besar dialami kanak-kanak wilayah itu sejak bermula apa yang disifatkannya sebagai genosid oleh Israel pada 7 Okt 2023.

Serangan itu meragut ribuan nyawa anak muda selain menjejaskan pendidikan dan menghancurkan impian mereka.

Dalam kenyataan media sempena sambutan itu, Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi berkata lebih 19,000 murid sekolah telah dibunuh dan kira-kira 28,000 lagi cedera, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Ratusan sekolah, tadika, pusat awal kanak-kanak, taman bimbingan kanak-kanak dan taman permainan turut musnah sepenuhnya atau sebahagiannya di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak serangan genosid Israel.

“Pada hari ini yang ditetapkan secara global bagi menekankan hak kanak-kanak kepada perlindungan, pendidikan, maruah, penjagaan, permainan dan hak asasi lain, kami menegaskan bahawa kanak-kanak Palestin berhak hidup dalam persekitaran stabil yang menjamin hak mereka kepada pendidikan percuma, selamat dan berkualiti sebagaimana termaktub dalam konvensyen dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Kementerian itu merujuk khusus kepada Deklarasi Hak Kanak-Kanak 1959 dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1989.

Ia menegaskan bahawa sementara negara dan institusi di seluruh dunia memperingati Hari Kanak-Kanak Sedunia, pelanggaran yang dilakukan oleh tentera Israel dan peneroka haram terhadap kanak-kanak Palestin terus berlaku di Gaza, Baitulmuqaddis dan Kawasan C di Tebing Barat.

“Hampir tiada hari yang berlalu tanpa berita mengenai seorang kanak-kanak yang dibunuh oleh peneroka haram atau tentera Israel. Realiti ini bukan sekadar angka; ia merupakan rangkaian kisah apabila impian, aspirasi dan harapan telah dipadamkan dalam sekelip mata.

“Kesan jenayah yang dilakukan tentera pendudukan terhadap kanak-kanak Palestin di Gaza masih ketara dan menuntut akauntabiliti serta tindakan pencegahan,” katanya.

Kementerian itu menggesa perlindungan segera untuk kanak-kanak dan murid sekolah di Palestin, selain sokongan kepada usaha bantuan dan pemulihan pendidikan bagi kanak-kanak dan pelajar di Gaza.

“Ia juga menggesa pemulihan infrastruktur pendidikan di kawasan terjejas, pengembangan program sokongan psikososial untuk pelajar terjejas serta pelaburan berterusan dalam pendidikan yang adil dan berkualiti yang memperkukuh daya tahan dan ketabahan,” katanya. -BERNAMA-WAFA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM