fb fb fb fb fb

Ribut Megi: 24 maut serta 13,000 penduduk berlindung di pusat perlindungan kecemasan di Filipina

MANILA, 12 April - Sekurang-kurangnya 24 orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh dan banjir akibat ribut tropika Megi di tengah dan selatan Filipina.

Menurut agensi bencana, lebih 13,000 penduduk menyelamatkan diri ke pusat perlindungan kecemasan ketika ribut melanda wilayah yang terdedah kepada bencana, pada Ahad lalu.

Kejadian tersebut memusnahkan kediaman dan ladang tanaman serta merosakkan struktur jalan raya, selain menyebabkan bekalan elektrik juga terputus.

Wilayah tengah, Leyte adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas, beserta tanah runtuh menyebabkan 21 orang terkorban di empat buah kampung, kata pegawai bencana Baybay City Rhyse Austero.

Menurut agensi bencana negara, tiga lagi terkorban di selatan Mindanao.

(Lebuh raya dan rumah tenggelam di bandar Abuyog, wilayah Leyte,
berikutan hujan lebat yang disebabkan oleh ribut tropika Megi / FOTO AFP)

“Semalam hujan sangat lebat, ia berterusan selama lebih 24 jam,” kata penduduk Hannah Cala Vitangcol.

Guru berusia 26 tahun itu melarikan diri bersama keluarganya ke sebuah hotel pada Isnin selepas terjaga dan mendapati rumah berhampiran telah diselaputi lumpur.

Anggota majlis Bandar Baybay, Mark Unlu-cay menyiarkan gambar di Facebook menunjukkan mangsa yang terselamat dari kampung lain, Kantagnos, dirawat di hospital.

Unlu-cay berkata beliau khuatir angka kematian akan meningkat selepas menerima laporan bahawa kampung lain turut tenggelam.

Pengawal Pantai Filipina dan anggota polis menyelamatkan orang ramai dari rumah mereka di bandar Abuyog yang ditenggelami air.

Ribut tropika Megi atau dikenali sebagai Agaton oleh penduduk tempatan, membadai pantai timur negara itu yang membawa hujan lebat hingga menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan terjejas.

Ia melanda empat bulan selepas taufan Rai yang memusnahkan kawasan kepulauan itu, mengorbankan lebih 400 orang dan menyebabkan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal. Rai merupakan taufan terkuat yang melanda Filipina tahun lalu.

Media Baharu