fb fb fb fb fb

AS arah pegawai konsulat dalam perkhidmatan tidak penting keluar dari Shanghai

SHANGHAI, 12 April- Amerika Syarikat (AS) telah mengarahkan semua pegawai konsulatnya yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan tidak penting untuk meninggalkan bandar Shanghai.

Jurucakap kedutaan AS di Beijing menerusi kenyataan memaklumkan, langkah tersebut diambil bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat AS terjamin semasa kerajaan China menguatkuasakan sekatan ketat untuk membendung COVID-19.

"Jabatan Negara AS mengarahkan rakyatnya keluar susulan lonjakan kes di Shanghai.

Ia merupakan jalan terbaik untuk mengurangkan bilangan pegawai dan keluarga mereka, operasi juga dikurangkan apabila kerja-kerja di lapangan berhadapan kekangan," katanya.

(Kira-kira 25 juta penduduk Shanghai kekal di bawah perintah berkurung susulan lonjakan kes COVID-19 / Foto AFP)

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian menyelar tuduhan AS terhadap perintah berkurung dan sekatan ketat yang dilakukan China menerusi dasar 'sifar COVID-19' yang didakwa dilaksana secara sewenang-wenangnya.

Beliau menegaskan, dasar tersebut dikuat kuasa secara saintifik dan terbukti berkesan.

Menerusi dasar tersebut, China melaksanakan perintah berkurung yang ketat, sekatan perjalanan dan saringan secara besar-besaran.

Bagaimanapun, dasar tersebut menerima tekanan sejak Mac apabila lebih 100,000 kes di rekodkan di Shanghai sehingga menyebabkan bandar yang mempunyai 25 juta penduduk itu ditutup.

Ia mencetuskan bantahan awam selepas tindakan tersebut mengakibatkan kekurangan makanan dalam kalangan rakyat.

Selain, rasa tidak puas hati susulan dasar tidak fleksibel yang menghantar sesiapa sahaja didapati positif ke pusat kuarantin termasuk memisahkan kanak-kanak daripada ibu bapa mereka.

Shanghai merekodkan lebih 23,000 kes baharu COVID-19 pada Selasa.

Media Baharu