fb fb fb fb fb

Ribut di Australia, lebih 120,000 premis masih terputus bekalan

Foto AFP

SYDNEY, 11 Mac- Syarikat utiliti Australia bergegas memulihkan bekalan elektrik ke lebih 120,000 rumah dan premis perniagaan yang masih terputus bekalan, akibat ribut dan banjir yang melanda pantai timur negara itu.

Taufan Alfred, yang menghampiri pesisir sebelum mendarat sebagai ribut tropika rendah pada Sabtu, membadai pantai sepanjang 400 kilometer selama lima hari.

Cuaca buruk itu meragut satu nyawa apabila seorang lelaki berusia 61 tahun yang memandu kenderaan dihanyutkan dari jambatan ke dalam sungai yang banjir.

Walaupun angin dan hujan telah reda di kawasan pesisir yang meliputi Queensland dan New South Wales, sebahagian besar negara masih terputus bekalan elektrik.

Di tenggara Queensland merekodkan kawasan paling teruk terjejas, apabila 118,000 premis masih bergelap pada pagi Selasa.

Pembekal elektrik serantau, Energex berkata pihaknya menyasarkan untuk menyambung semula 95 peratus bekalan menjelang Jumaat.

“Lebih 2,000 kakitangan berada di lapangan hari ini, dan cuaca kelihatan baik untuk kerja-kerja pembaikan serta operasi helikopter bagi menilai bahagian rangkaian yang terputus,” katanya dalam kemas kini.

Energex memaklumkan lebih 450,000 premis di Queensland kehilangan bekalan elektrik semasa kecemasan itu sekali gus mencatatkan rekod negeri bagi gangguan bekalan akibat bencana alam.

Di timur laut New South Wales, Essential Energy melaporkan 7,600 rumah dan premis perniagaan masih terputus bekalan.

“Pelanggan mungkin akan mengalami bekalan elektrik yang tidak konsisten dalam tempoh tertentu, ketika kru kami menjalankan kerja pembaikan kerosakan akibat angin kencang, hujan lebat, pokok tumbang dan kerja pembersihan serpihan,” menurut syarikat itu.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM