GUATEMALA CITY, 11 Mac- Pihak berkuasa Guatemala telah memindahkan kira-kira 1,000 penduduk pada Isnin selepas gunung berapi paling aktif di Amerika Tengah, Gunung Fuego, meletus dengan menghamburkan lava, abu dan batu ke udara.
Bagaimanapun, letusan itu diumumkan tamat menjelang malam dan penduduk yang dipindahkan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Penduduk yang masih trauma dengan tragedi letusan maut pada 2018 segera mencari perlindungan setelah Gunung Fuego meletus dengan dahsyat, hanya 35 kilometer dari ibu negara, Guatemala City.
"Kami terdengar gegaran kuat sebelum letusan berlaku," kata Manuel Cobox, 46, yang segera meninggalkan rumahnya bersama isteri dan tiga anak perempuan mereka.
Jurucakap agensi penyelarasan bencana Guatemala (Conred), Juan Laureano berkata seramai 125 keluarga, melibatkan sekitar 900 penduduk dari komuniti El Porvenir telah dipindahkan ke kawasan selamat.
Penduduk di Las Lajitas turut diarahkan berpindah.
Banyak keluarga menaiki bas ke balai bandar yang dijadikan pusat perlindungan sementara, manakala sebahagian lagi berlindung di rumah saudara-mara.
Menurut Ketua Conred, Claudinne Ogaldes, sekitar 30,000 orang berisiko terjejas dan dinasihatkan supaya berpindah sekiranya perlu.
Guatemala terletak dalam Lingkaran Api Pasifik dan sering mengalami gempa bumi serta aktiviti gunung berapi.
Pada Jun 2018, letusan Gunung Fuego mengorbankan 215 nyawa dan menyebabkan ratusan lagi hilang selepas aliran lava memusnahkan perkampungan San Miguel Los Lotes.
Letusan Gunung Fuego pada 2023 turut memaksa pemindahan kira-kira 1,200 penduduk.
Kerajaan Guatemala mengeluarkan amaran pada Ahad bagi menyelaras tindakan pencegahan termasuk menutup sementara sebuah jalan yang menghubungkan selatan negara itu ke bandar kolonial Antigua, tapak warisan dunia UNESCO dan destinasi pelancongan utama.
Sekolah di kawasan berdekatan turut ditutup, namun dijangka dibuka semula pada Selasa.
Institut Vulkanologi turut menasihatkan sektor penerbangan untuk mengambil langkah berjaga-jaga berikutan penyebaran awan abu yang boleh mengganggu perjalanan udara.- AFP