fb fb fb fb fb

Rodrigo Duterte ditahan di Manila, atas waran ICC

Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte/AFP

MANILA, 11 Mac- Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, ditahan polis di Manila pada Selasa berikutan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Penahan tersebut berkaitan perang dadahnya yang mengorbankan ribuan nyawa.

Menurut ICC, Duterte, 79, berdepan pertuduhan "jenayah terhadap kemanusiaan iaitu pembunuhan", berhubung tindakan kerasnya yang didakwa menyebabkan kematian puluhan ribu individu.

Mangsa terbabit kebanyakannya daripada golongan miskin, tanpa bukti kukuh mereka terlibat dalam dadah.

"Awal pagi ini, Interpol Manila menerima salinan rasmi waran tangkap daripada ICC," menurut kenyataan istana presiden.

"Ketika ini, beliau berada dalam tahanan pihak berkuasa," tambah kenyataan itu, sambil menegaskan Duterte dan pasukannya berada dalam keadaan baik serta diperiksa oleh doktor kerajaan.

Bagaimanapun, Duterte mempertikaikan penahanannya dalam sebuah video di Instagram anak bongsunya, Veronica.

"Apa undang-undang dan jenayah yang saya lakukan? Tunjukkan kepada saya sekarang asas undang-undang saya berada di sini," katanya.

Lokasi rakaman tidak dinyatakan, tetapi gambar yang dikeluarkan parti politiknya menunjukkan beliau ditahan di Pangkalan Udara Villamor berdekatan Lapangan Terbang Manila.

Peguamnya, Salvador Panelo menyifatkan penahanan itu sebagai tidak sah kerana polis tidak membenarkan peguam Duterte bertemu dengannya atau mempersoalkan asas undang-undang penahanan tersebut.

Bagaimanapun, penentang perang dadah menyambut baik berita itu.

"Kami telah lama menunggu saat ini," kata Rubilyn Litao, penyelaras kumpulan Rise Up for Life and for Rights, yang membantu keluarga mangsa perang dadah.

Pertubuhan hak asasi manusia, termasuk Karapatan dan Human Rights Watch, menggesa kerajaan Filipina menyerahkan Duterte kepada ICC untuk dibicarakan.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM