ATHENS, 1 Disember- Ribut Bora yang melanda Greece sejak Sabtu telah meragut dua nyawa di Pulau Lemnos.
Bencana tersebut turut menyebabkan kerosakan teruk terhadap jalan raya serta bangunan di Rhodes, menurut pihak berkuasa pada Ahad.
Ribut tersebut dijangka membawa salji lebat ke kawasan utara dan barat laut Greece.
Perkhidmatan perlindungan awam pada Sabtu mengeluarkan amaran kecemasan mengenai hujan lebat serta angin kencang yang bakal melanda kawasan timur laut, bahagian tengah, dan wilayah sekitar Athens.
"Di pulau Rhodes, yang merupakan destinasi pelancongan utama, ribut itu merosakkan jalan raya, rumah dan bangunan komersial sepanjang malam Sabtu hingga Ahad," kata gabenor wilayah, George Hadjimarkos.
Beliau memaklumkan bahawa puluhan penduduk telah dipindahkan.
Pihak berkuasa menggesa penduduk untuk kekal berada di rumah, sementara pergerakan lalu lintas dihentikan.
Pasukan kecemasan kini berada dalam keadaan waspada dan siap siaga.
Di Pulau Lemnos, dua lelaki masing-masing berusia 57 dan 70 tahun meninggal dunia dalam insiden berasingan.
Salah seorang mangsa terbabit dalam kemalangan ketika menarik keluar keretanya yang terperangkap dalam lumpur manakala seorang lagi maut akibat terjatuh di luar rumahnya.
Syarikat televisyen negara, ERT menyiarkan imej ladang-ladang yang ditenggelami banjir di pulau itu, yang sebahagian besar ekonominya bergantung pada sektor pertanian.- AFP