fb fb fb fb fb

Ribuan tentera Ukraine "serah diri", EU tidak beri layanan sewajarnya

 (Tentera Ukraine sedang diperiksa oleh tentera Rusia selepas meninggalkan
Azovstal, kawasan yang dikepung Moscow/AFP)

MOSCOW, 19 Mei- Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan seramai 1,730 tentera Ukraine di Azovstal kawasan kilang keluli di bandar pelabuhan Mariupol yang dikepung telah menyerah diri.

“Dalam tempoh 24 jam, 771 militan rejimen nasionalis Azov telah menyerah diri,” kata kenyataan kementerian itu dalam taklimat harian konflik tersebut.

“Secara keseluruhan sejak 16 Mei lalu 1,730 militan telah menyerah diri, termasuk 80 anggota yang cedera,” tambah kenyataan tersebut.

Pihak kementerian telah mengeluarkan rakaman video menunjukkan askar yang telah menyerah diri berjalan keluar dari kawasan loji, sesetengah dilihat cedera dan yang lain berjalan menggunakan ‘tongkat’. Tentera Rusia dilihat turut memeriksa badan mereka ketika keluar. 

Jelas kementerian itu, askar yang cedera telah dibawa ke hospital di wilayah yang dikawal Rusia di timur Ukraine.

Pihak Ukraine telah menyatakan bahawa mereka bersedia untuk pertukaran tahanan untuk pejuang yang telah menyerah diri di Azovstal, namun setakat berita ini dikeluarkan, Moscow belum memberi sebarang jawapan muktamad mengenai perkara itu.


(Salah seorang tentera Ukraine diperiksa selepas meninggalkan kawasan
Azovstal pada 18 Mei 2022/AFP)

Sementara itu, Menteri Luar Ukraine mengkritik “layanan kelas kedua” terhadap Kiev oleh beberapan negara Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis selepas Jerman menyatakan usaha negara yang dilanda perang itu untuk menyertai blok tidak boleh disegerakan.

"Strategik tidak jelas terhadap Ukraine pada perspektif Eropah yang diamalkan beberapa negara EU sebelum ini gagal dan mesti ditamatkan," kata Dmytro Kuleba menerusi Twitter.

Ini hanya menjadikan Presiden Rusia, Vladimir Putin “lebih berani”, tambah Kuleba.

Awal hari ini, Canselor Jerman Olaf Scholz menyebut, mungkin "tiada jalan pintas" untuk keahlian Ukraine dalam EU dan menambah bahawa pengecualian untuk Kiev adalah langkah tidak adil kepada negara-negara Barat Balkan yang juga ingin menganggotai EU.

“Bukan satu masalah… proses keanggotaan (EU) mengambil masa beberapa bulan atau tahun,” katanya.

Bagaimanapun, Scholz berkata bahawa blok itu mesti mencari cara lebih "cepat dan pragmatik" untuk membantu Kiev.

Ukraine kerap kali menggesa supaya status pencalonnya dalam EU disegerakan selepas pencerobohan tentera Rusia yang telah memusnahkan negara itu.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga berkata ia (penyertaan Ukraine) akan mengambil masa "berdekad" untuk Ukraine menyertai EU.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyifatkan langkah itu “tidak adil”.

"Ia seperti anda dijemput berkumpul duduk satu meja, tetapi anda tidak diberikan kerusi," katanya kepada pelajar Perancis selepas reaksi Macron.

Zelensky telah menyatakan bahawa beliau amat berharap Ukraine – yang menyokong revolusi EU pada 2014 dalam menggulingkan kerajaan disokong Moscow -- akan diberikan status keanggotaan menjelang Jun ini. -AFP

Media Baharu