fb fb fb fb fb

Kanada kesan 13 kes dipercayai penyakit cacar monyet jarang ditemui

(Simptom-simptom cacar monyet adalah termasuk selesema sebelum munculnya ruam pada seluruh
badan dan wajah/FOTO PERTUBUHAN KESIHATAN SEDUNIA(WHO)

MONTREAL, 19 Mei- Pihak berkuasa kesihatan di wilayah Quebec, Kanada sedang menyiasat kira-kira 13 kes disyaki cacar monyet, virus yang jarang ditemui namun berpotensi memberi kesan serius, lapor penyiar awam, CBC semalam.

Semalam, Amerika Syarikat (AS) juga mengesahkan kes virus itu pada seorang lelaki yang baru pulang mengunjungi Kanada, selepas pegawai kesihatan eropah mengesahkan puluhan kes sama awal minggu ini.

Penyakit itu kebiasaannya bermula dengan gejala seperti selesema, demam, sakit otot dan bengkak limfa, sebelum menyebabkan ruam seperti cacar air pada muka dan badan, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

CBC melaporkan, pihak berkuasa kesihatan awam di bandar Quebec, Montreal sedang menyiasat kes itu, sambil menambah ia dikesan selepas diagnosis dibuat di beberapa klinik pakar.

Laporan itu menyebut, pengesahan dijangka diketahui dalam beberapa hari akan datang.

Di negara jiran AS, pihak berkuasa kesihatan Massachusetts dan CDC semalam mengesahkan kes pertama di negara itu tahun ini.

"Kes itu tidak menimbulkan risiko kepada orang ramai, dan individu itu dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan baik," kata Jabatan Kesihatan Massachusetts dalam satu kenyataan.

Penyakit itu boleh merebak melalui sentuhan dengan cecair badan atau kudis orang yang dijangkiti atau barangan yang dikongsi seperti pakaian dan peralatan tempat tidur yang sudah tercemar," kata CDC, sambil menambah pembasmi kuman juga boleh membunuh virus itu.

(Seorang kanak-kanak yang dijangkiti cacar monyet dirawat di Zomea Kaka, di wilayah Lobaya,
di Republik Afrika Tengah, pada 18 Oktober 2018. Cacar monyet adalah penyakit berjangkit,
tanpa ubat, boleh sembuh sendiri tetapi boleh membunuh jika tidak dirawat tepat pada masanya/Fail AFP)

Banyak kes dilaporkan, termasuk kelompok yang dikesan sejak dua minggu lalu di Portugal, Sepanyol dan Britain, di mana cacar monyet jarang berlaku, menular dalam rangkaian seksual," kata pakar virus cacar CDC, Inger Damon, dalam satu kenyataan.

Beberapa kes di Eropah sudah dikesan pada lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, biarpun CDC menggariskan sesiapa sahaja, tanpa mengira orientasi seksual, boleh menyebarkan cacar monyet.

Sejak 6 Mei lalu, sembilan kes cacar monyet sudah dikesan di United Kingdom (UK), kata Agensi Keselamatan Kesihatan UK semalam.

Semalam, Sepanyol dan Portugal mengumumkan mereka sudah mengenal pasti lebih daripada 40 kes yang disyaki atau disahkan cacar monyet. -AFP

Media Baharu