fb fb fb fb fb

Ribuan sertai perhimpunan “No Kings” di seluruh AS, protes kepimpinan Trump

Foto REUTERS

WASHINGTON, 19 Oktober- Ribuan penunjuk perasaan daripada pelbagai peringkat umur membanjiri jalan raya di seluruh Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu bagi menyertai perhimpunan “No Kings”, sebagai tanda bantahan terhadap corak kepimpinan autoritarian dan rasuah berleluasa di bawah Presiden Donald Trump.

Imej dari udara menunjukkan lautan manusia berarak di Seattle, melewati mercu tanda terkenal bandar itu, Space Needle.

Penganjur menjangkakan jutaan orang akan turun menyertai lebih 2,600 perhimpunan yang dirancang di bandar utama, pekan kecil dan kawasan pinggir bandar menjelang penghujung hari.

Gerakan itu dilihat sebagai cabaran besar terhadap agenda Trump yang dikatakan telah mengubah landskap pentadbiran negara dan mencabar norma demokratik dalam tempoh yang singkat sejak beliau mengambil alih jawatan pada Januari.

“Saya turun ke jalan untuk pertahankan demokrasi dengan cara yang positif, sebab kami cintakan Amerika. Kami nak lindungi demokrasi kami dan bersuara bagi pihak mereka yang tak dapat hadir,” kata Cindy Gulbranson, salah seorang peserta perhimpunan di Seattle.

“Memang menakutkan bila fikir apa yang mungkin berlaku dalam tiga tahun akan datang dan lebih menakutkan kalau beliau (Trump) umum tidak akan berundur selepas penggal kedua,” kata Ahli Majlis Daerah King County, Girmay Zahilay.

Walaupun jumlah peserta besar, suasana perhimpunan dilaporkan meriah dan aman, dengan ramai membawa belon gergasi dan berpakaian dalam warna bendera AS.

Setakat ini, hampir tiada insiden kekacauan atau pelanggaran undang-undang dilaporkan.

Sementara itu, Los Angeles turut dibanjiri ribuan penunjuk perasaan.

Peserta membawa sepanduk dan melaungkan slogan di hadapan Dewan Bandaraya sebelum berarak melalui Gloria Molina Grand Park.

Sejak sepuluh bulan memegang jawatan, Trump memperketatkan dasar imigresen, mengurangkan jawatan persekutuan dan mengancam peruntukan universiti berkait aktivisme kampus serta hak minoriti.

“Dia menanam rasa takut dan bertindak seperti pemerintah kuku besi,” kata penulis komik, Michael Wellman.

Tindakan menghantar Pengawal Kebangsaan ke bandar-bandar utama turut dikritik sebagai usaha menekan rakyat. -REUTERS

-REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM