fb fb fb fb fb

Afghanistan, Pakistan capai gencatan senjata serta-merta selepas rundingan di Doha

Foto REUTERS

DOHA, 19 Oktober- Afghanistan dan Pakistan bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta selepas satu pusingan rundingan yang dihoskan di Doha, Qatar pada Sabtu.

Menurut pengumuman Kementerian Luar Qatar awal pagi Ahad, rundingan berkenaan turut dimediasi oleh Qatar dan Turkiye, dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan mesyuarat susulan dalam tempoh terdekat.

Langkah itu untuk memastikan gencatan senjata dapat dikekalkan serta dipantau pelaksanaannya secara telus dan berkesan.

Terdahulu, kedua-dua negara mengesahkan rundingan damai sedang diadakan di Doha selepas seminggu pertempuran sengit di sempadan.

Krisis tersebut meragut puluhan nyawa dan mencederakan ratusan orang, insiden terburuk antara dua negara berjiran itu sejak Taliban mengambil alih Kabul pada 2021.

Pertempuran darat antara dua sekutu lama itu serta serangan udara Pakistan di sepanjang sempadan 2,600 kilometer tercetus selepas Islamabad mendesak Kabul mengekang kegiatan pemberontak yang didakwa menyerang Pakistan dari wilayah Afghanistan. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM