DAKAR, 15 Mac - Ahli politik pembangkang Senegal, Ousmane Sonko dan calon presiden yang disokongnya pada pilihan raya 24 Mac, Bassirou Diomaye Faye, telah dibebaskan dari penjara pada Khamis.
Menurut penyiar negeri, RTS, dalam laman webnya memaklumkan pembebasan mereka telah dijangka selepas parlimen meluluskan undang-undang pengampunan pada 6 Mac, ketika pihak berkuasa berusaha untuk meredakan ketegangan berikutan usaha mereka untuk menangguhkan pengundian selama 10 bulan.
RTS tidak memberikan butiran lanjut dan tidak segera menjelaskan di mana pasangan itu selepas dibebaskan.
Beribu-ribu penyokong berkumpul di ibu negara, Dakar, untuk meraikan berita itu.
Ada yang melaungkan nama Sonko, menyalakan suar, menari atau membunyikan hon motosikal dan kereta mereka, tanda kegembiraan penyokongnya.
"Sudah lama kami menunggu hari ini. Berdoalah. Saya percaya Sonko boleh mengubah negara," kata pekerja kesihatan, Fatima, 52, yang kemudian bergegas untuk menyertai orang ramai, apabila mendengar Sonko dan Faye dibebaskan.
Sonko telah menyeru penyokongnya untuk menyokong Faye dalam persaingan presiden, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap pesaingnya.
Sonko mendapat sokongan meluas terutamanya dalam kalangan golongan muda yang kecewa, dengan kesusahan ekonomi serta kekurangan pekerjaan di negara Afrika Barat yang mempunyai populasi sekitar 17 juta orang.
Tiada tinjauan pendapat pilihan raya umum di Senegal, tetapi Faye dilihat sebagai pencabar kuat dalam kalangan 19 calon yang bersaing untuk menggantikan Presiden Macky Sall, yang berundur selepas dua penggal.
Terdahulu pada Khamis, ketua Amnesty International Senegal, Seydi Gassama berkata pihak berkuasa telah berusaha untuk mengehadkan peluang pemilihan Faye dengan menahannya di penjara, melihat dia sebagai ancaman utama kepada calon pakatan pemerintah, Amadou Ba.
“Sangat dikesalkan. Ia turut memberi imej buruk, menunjukkan bahawa kami tidak bersedia untuk menganjurkan pilihan raya yang bebas dan demokratik,” kata Gassama kepada Reuters menjelang pembebasan Sonko dan Faye.- REUTERS