fb fb fb fb fb

Dua jurutera Indonesia didakwa bocorkan teknologi projek jet pejuang Korea Selatan

Foto Reuters

SEOUL, 15 Mac- Dua pekerja warga Indonesia di Korea Aerospace Industries (KAI) 047810.KS didakwa telah membocorkan teknologi berkaitan projek jet pejuang milik Korea Selatan.

Kedua-dua jurutera itu ditahan oleh polis Korea Selatan ketika serbuan di ibu pejabat KAI pada Jumaat.

Mereka dituduh melanggar Akta Program Pemerolehan Pertahanan Korea Selatan dan membocorkan maklumat teknologi berkaitan KF-21, jet pejuang tempatan Korea Selatan yang sebahagiannya disokong oleh Indonesia.

Serbuan yang bermula pada Khamis, diteruskan untuk hari kedua, kata seorang pegawai di biro penyiasatan keselamatan Polis Wilayah Gyeongnam kepada Reuters.

Jurucakap KAI berkata syarikat itu "berkerjasama secara aktif" untuk memastikan ia dapat menyediakan apa sahaja yang diperlukan untuk siasatan polis untuk membuktikan kebenaran.

KF-21, yang dibangunkan oleh KAI, direka bentuk untuk menjadi alternatif yang lebih murah dan kurang tersembunyi kepada F-35 buatan Amerika Syarikat, pilihan Korea Selatan sebelum ini.

Jurucakap kementerian luar Indonesia bulan lalu memberitahu pemberita bahawa kerajaan negara Asia Tenggara sedang mengumpul bukti mengenai dakwaan itu.

"KF-21 merupakan projek strategik bagi kedua-dua negara dan mereka akan menguruskan sebarang masalah yang timbul daripada kerjasama ini sebaik mungkin," jelas jurucakap itu.

Korea Selatan dan Indonesia menyelesaikan pertikaian mengenai pembiayaan untuk jet pejuang bersama itu pada 2022 dan sejak itu berjanji untuk mengembangkan kerjasama pertahanan.

Terdapat kebimbangan di Korea Selatan bahawa peraturannya tidak cukup kuat untuk menghalang percubaan untuk menyalurkan teknologi daripada syarikat teknologi tinggi.

Suruhanjaya Penghukuman, yang diawasi oleh Mahkamah Agung Korea, tahun lalu memutuskan untuk mempertingkat hukuman selain memanjangkan tempoh penjara akibat membocorkan maklumat teknologi.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM