HANOI, 25 Ogos – Puluhan ribu penduduk di kawasan pesisir pantai Vietnam dipindahkan pada Isnin susulan Taufan Kajiki.
Taufan berkenaan dijangka membadai kawasan tengah negara itu dengan kelajuan angin mencecah 160 kilometer sejam.
Kajiki merupakan taufan kelima yang melanda Vietnam pada tahun ini.
Ketika ini taufan berkenaan berada di Teluk Tonkin dan mencetuskan ombak setinggi 9.5 meter.
Pihak berkuasa mengarahkan lebih 325,500 penduduk di lima wilayah pantai berpindah ke pusat perlindungan sementara.
Di bandar Vinh, hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan banjir kilat.
Jalan raya lengang, manakala kedai serta restoran ditutup.
Menjelang subuh, hampir 30,000 penduduk sudah dipindahkan, dua lapangan terbang domestik ditutup dan semua bot nelayan diarahkan kembali ke pelabuhan.
Menurut Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan Vietnam, taufan dijangka mula membadai daratan sekitar pukul 1 tengah hari dengan kelajuan angin 157 kilometer sejam.
Bagaimanapun, kekuatannya dijangka beransur lemah selepas itu.
Pusat Amaran Taufan Bersama pula menjelaskan keadaan persekitaran di Teluk Tonkin menunjukkan trend pelemahan kerana kandungan haba laut semakin berkurangan.
Menurut Kementerian Pertanian Vietnam, lebih 100 orang maut atau hilang akibat bencana alam dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Pakar sains memberi amaran perubahan iklim berpunca daripada aktiviti manusia mendorong pola cuaca lebih ekstrem dan tidak menentu.
Keadaan ini meningkatkan risiko banjir besar serta ribut taufan khususnya di kawasan tropika. -AFP