fb fb fb fb fb

Indonesia, AS & sekutu jalani latihan ketenteraan bersama terbesar

Majlis perasmian Super Garuda Shield 2025 berlangsung di Kolej Komando dan Staf Tentera Laut, Jakarta / Foto AFP

JAKARTA, 25 Ogos - Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) memulakan latihan ketenteraan bersama hari ini yang akan berlangsung lebih seminggu.

Latihan turut membabitkan penyertaan 11 negara sekutu antaranya Australia, Jepun, Singapura, Perancis, New Zealand, dan Britain.

Negara lain termasuk India, Papua New Guinea dan Timor Leste turut menghantar pemerhati.

Latihan tahunan dikenali sebagai Super Garuda Shield itu akan dijalankan di Jakarta serta beberapa lokasi lain di Sumatera Barat dan Kepulauan Riau sehingga 4 September.

Seramai 4,100 anggota tentera Indonesia dan 1,300 anggota tentera Amerika Syarikat terlibat dalam latihan tersebut.

Pihak penganjur berkata, latihan kali ini adalah yang terbesar pernah diadakan sejak ia mula diperkenalkan.

Program merangkumi latihan kakitangan, pertahanan siber dan demonstrasi tembakan.

Komander US Indo-Pacific Command, Samuel Paparo menegaskan, latihan tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama serta meningkatkan keupayaan bersama.

“Latihan ini melambangkan tekad kolektif negara terlibat untuk mempertahankan kedaulatan dan menghalang mana-mana pihak menggunakan keganasan bagi mengubah keadaan di lapangan,” katanya.

Walaupun AS dan beberapa sekutu bimbang dengan pengaruh China yang semakin meningkat di rantau Pasifik, Washington menegaskan latihan berkenaan tidak disasarkan kepada mana-mana negara.

Indonesia pula mengekalkan dasar luar berkecuali, berusaha mengekalkan hubungan baik dengan Washington dan Beijing dalam suasana persaingan kuasa besar itu. -AFP

FARIS IZZAT SHAHARUDIN