UTRECHT, 25 Ogos - Ribuan pasang kasut memenuhi Dataran Vredenburgplein, Belanda, pada Ahad sebagai peringatan terhadap anak-anak Palestin dan wartawan yang terkorban akibat serangan berterusan Israel di Gaza.
Kasut-kasut itu disusun rapi bersama permainan kanak-kanak, bunga dan potret wartawan yang dibunuh.
Suasana pilu diserikan disulam alunan muzik cello, sementara aktivis membacakan nama-nama anak Palestin yang syahid.
Menurut penganjur, Esther van der Most, sebanyak 18,000 pasang kasut kanak-kanak dipamerkan sebagai simbol kepada angka korban sebenar yang jauh lebih tinggi.
“Kita juga memperingati wartawan Palestin yang terkorban di Gaza. Hampir 300 daripada mereka dibunuh oleh Israel. Ini sesuatu yang sukar diterima akal.
Kami mahu berkongsi kisah mereka untuk menunjukkan kemanusiaan yang dirampas,” katanya.
Seorang aktivis lain, Yali Dutch, mengecam sikap hipokrit dunia terhadap kematian wartawan Palestin.
“Jika wartawan yang terbunuh itu berasal dari Belanda, England, Perancis atau Amerika, sudah tentu kemarahan dunia lebih hebat.
Tetapi bila melibatkan Palestin, reaksi sangat sedikit,” ujarnya.
Beliau turut mendakwa kerajaan Belanda bersubahat dalam jenayah perang kerana terus menjual senjata kepada Israel.
“Kalau ada kuasa untuk menghentikan genosid, kenapa tidak digunakan? Kita perlu sekatan, kita perlu boikot, kita mesti bertindak,” tegasnya.
Sejak lebih dua tahun lalu, rejim Zionis telah membunuh hampir 63,000penduduk Palestin dan mencederakan lebih 157,900 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. -VIORY