MOSCOW, 25 Ogos - Rusia pada Ahad mendakwa tenteranya berjaya menawan sebuah penempatan di wilayah Dnipropetrovsk dalam tempoh 24 jam lalu.
Malah Moscow turut memberitahu telah memusnahkan depot peluru berpandu Ukraine serta beberapa fasiliti dron.
Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan, pertahanan udaranya juga menembak jatuh tiga peluru sistem roket HIMARS dan 172 dron milik Ukraine.
Pada masa sama, tentera Ukraine melaporkan 85 pertempuran tercetus dengan 31 daripadanya berlaku di Pokrovsk.
Awal pagi Ahad, pasukan khas Ukraine bersama Direktorat Perisikan Kementerian Pertahanan melancarkan serangan terhadap sebuah loji penapisan minyak di wilayah Samara, Rusia.
Tahap kerosakan masih dalam siasatan.
Sementara itu, Gabenor Wilayah Leningrad mengesahkan pelabuhan Ust-Luga di barat laut Rusia terbakar selepas diserang dron.
Sebanyak 10 dron berjaya ditembak jatuh, namun serpihannya mencetuskan kebakaran di sebuah dok.
Api berjaya dipadamkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Tentera Ukraine mengesahkan mereka menyasarkan fasiliti di pelabuhan tersebut yang merupakan pelabuhan kedua terbesar Rusia dan pintu utama ke Laut Baltik. -REUTERS