fb fb fb fb fb

Angka korban serangan Israel di Sanaa meningkat kepada enam

Letupan berlaku akibat serangan udara Israel di Sanaa / Foto REUTERS

SANAA, 25 Ogos – Angka korban akibat serangan udara Israel di ibu negara Yaman, meningkat kepada enam orang.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan kumpulan Houthi, 86 lagi mangsa dilaporkan cedera.

Serangan pada Ahad itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap peluru berpandu balistik dan dron yang ditembak Houthi ke arah wilayah Israel sejak beberapa hari lalu.

Menurut laporan stesen televisyen Al-Masirah, serangan itu menyasarkan bangunan majlis perbandaran di pusat bandar, sasaran lain termasuk stesen janakuasa di selatan Sanaa dan kemudahan syarikat minyak.

"Serangan mencetuskan satu letupan besar disusuli kemusnahan infrastruktur awam dan kebakaran yang mengeluarkan kepulan asap hitam tebal di Sanaa.

Rejim Zionis kali ini menyasarkan sebuah stesen minyak di Jalan Al-Sittine dengan beberapa serangan udara, serta sebuah stesen janakuasa di selatan ibu kota yang turut diserang pada Ahad lalu," menurut laporan televisyen Al-Masirah.

Serangan terbaharu ini merupakan sebahagian daripada tindakan berbalas-balas serangan dalam tempoh lebih setahun ketegangan antara Israel dan kumpulan Houthi di Yaman, kesan konflik berpanjangan di Gaza.

Sementara itu, pemimpin kanan Houthi, Abdul Qader al-Murtada, menegaskan, kumpulannya akan terus menyokong rakyat Palestin.

“Israel mesti tahu bahawa kami tidak akan meninggalkan saudara-saudara kami di Gaza, walau apa pun pengorbanannya,” katanya menerusi X.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN