fb fb fb fb fb

Lautan manusia di Australia desak henti genosid Israel di Gaza

Peserta himpunan memegang sepanduk ketika mereka mengambil bahagian dalam 'Nationwide March for Palestine' di Sydney / Foto REUTERS

SYDNEY, 25 Ogos - Ratusan ribu rakyat Australia turun ke jalan raya di lebih 40 lokasi seluruh negara bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa kekejaman rejim Israel di Gaza.

Menurut kumpulan penganjur, Palestine Action Group, perhimpunan besar-besaran pada Ahad itu berlangsung di bandar utama termasuk Sydney, Melbourne dan Brisbane.

Dianggarkan 350,000 orang hadir di seluruh negara, dengan sekitar 50,000 membanjiri jalan raya di Brisbane.

Di Sydney, ribuan peserta berarak sambil membawa bendera Palestin dan sepanduk bertulis "Free Palestine", "Stop Killing Babies" serta "Palestinian Lives Matter".

“Kami menjangka perhimpunan besar, tetapi hari ini jauh lebih ramai daripada dijangka.

Ini mesej jelas bahawa rakyat Australia menolak genosid dan kebuluran di Gaza dan mahu kerajaan bertindak praktikal bersama negara lain untuk menamatkan kekejaman ini,” menurut seorang peserta himpunan.

Penganjur, Josh Lees pula menegaskan, himpunan itu bukti rakyat semakin berani menentang dasar kerajaan yang disifatkan tidak tegas terhadap Israel.

“Kami berdepan banyak tekanan, buli dan cubaan menutup suara rakyat. Tetapi kini keyakinan semakin kuat. Kami tahu kami berada di pihak yang benar, dan majoriti rakyat bersama kami. Genosid ini mesti dihentikan. Cukuplah kata-kata kosong.

Pengiktirafan negara Palestin hanya mengalih perhatian. Kami mahu sekatan dikenakan dan hentikan perdagangan senjata dua hala dengan Israel,” tegasnya.

Himpunan itu turut mendapat sokongan parti politik.

Pemimpin Parti Greens Australia, Larissa Waters, menegaskan rakyat semakin muak dengan penglibatan Canberra dalam perdagangan senjata bersama Israel.

“Rakyat Australia terkejut kerana kita menjual komponen senjata kepada Israel. Ia mesti dihentikan.

Kehadiran luar biasa rakyat di seluruh negara membuktikan mesej mereka jelas bahawa kita mahukan keamanan, sekatan terhadap Israel, bantuan kemanusiaan segera sampai ke Gaza dan hentikan perdagangan senjata dua hala,” ujarnya.

Perhimpunan solidariti itu berlangsung ketika hubungan diplomatik Australia–Israel semakin tegang.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini lantang mengkritik Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, susulan keputusan Canberra mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara secara bersyarat pada 11 Ogos lalu.

Keputusan itu menyusuli langkah sama oleh Perancis, Britain dan Kanada.

Sejak hampir dua tahun lalu, lebih 62,000 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan berterusan Israel ke atas Gaza, manakala berjuta lagi berdepan kebuluran akibat sekatan rejim. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN