HAUNSHOFEN, 25 Ogos – Ribuan pengunjung berkumpul di kampung Haunshofen di Bavaria, Jerman, untuk menyaksikan acara perlumbaan lembu jantan yang diadakan setiap empat tahun sekali.
Acara tradisional dan unik ini dikenali sebagai “Ochsenrennen”, merupakan satu peristiwa berunsur budaya rakyat, di mana penunggang lelaki dan wanita berlumba menunggang lembu jantan tanpa pelana, hanya berpegang pada tali kekang.
“Ia benar-benar hebat. Anda perlu betul-betul mencengkam badan haiwan itu supaya tidak terjatuh,” kata Anna Steidl, peserta wanita berusia 33 tahun.
Steidl merupakan salah seorang daripada hanya dua peserta wanita yang berjaya melayakkan diri ke separuh akhir dalam kalangan 24 pelumba keseluruhan.
Acara yang bermula pada tahun 1983 ini berasal daripada gurauan semasa karnival, namun kini telah menjadi kemuncak budaya tempatan bagi Haunshofen dan kampung bersebelahan, Bauerbach.
Selain perlumbaan, acara ini turut dimeriahkan dengan perarakan tradisional, khemah perayaan lengkap dengan muzik serta keseronokan.
Bagaimanapun, penganjur menekankan bahawa penggunaan cemeti, paku atau alat paksaan terhadap haiwan adalah dilarang. Hanya lembu yang lulus pemeriksaan veterinar dibenarkan untuk menyertai perlumbaan yang dilakukan dalam suasana meriah tetapi bertanggungjawab.
"Orang ramai gembira, cuaca sangat baik, haiwan-haiwan kelihatan sihat, dan pasukan penganjur hebat. Satu acara yang berjaya!," kata seorang pengunjung, Paula Heine.
Turut teruja seorang lagi pengunjung, Andreas Holzer.
"Acara ini lagenda, bukan semua orang dapat saksikan perlumbaan lembu jantan. Memang menarik kerana bukan perkara biasa," katanya. - REUTERS