fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di Napa County cetus jerebu jingga tebal

Usaha pemadaman dijalankan tanpa henti, melibatkan jentera darat serta udara, dan anggota bomba terpaksa bekerja sepanjang masa bagi mengawal kebakaran yang semakin merebak/Foto REUTERS

CALIFORNIA, 25 Ogos – Jerebu jingga tebal menyelubungi kawasan pelancongan utama di Napa County, di sini, akibat kebakaran hutan besar dikenali sebagai 'Pickett Fire'.

Menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire), kebakaran pada Sabtu lalu itu, kini telah merebak ke kawasan seluas 6,803 ekar, dengan hanya 11 peratus berjaya dikawal setakat ini.

Cal Fire memaklumkan bahawa usaha pemadaman dijalankan tanpa henti, melibatkan jentera darat serta udara, dan anggota bomba terpaksa bekerja sepanjang masa bagi mengawal kebakaran yang semakin merebak.

Arahan pemindahan juga telah dikeluarkan bagi beberapa kawasan dengan ancaman api yang boleh mengancam nyawa penduduk.

"Kami memberi keutamaan kepada keselamatan penduduk. Usaha pemadaman diteruskan dari semua arah," menurut kenyataan Cal Fire.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. Setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai jumlah kediaman atau struktur yang musnah.

Dalam perkembangan lain, kebakaran hutan turut dilaporkan berlaku di kawasan tengah Oregon, khususnya di Daerah Deschutes.

Menurut kenyataan Pejabat Sheriff Daerah Deschutes, hampir 4,000 buah rumah kini berada di bawah notis pemindahan, manakala 1,000 rumah telah diarahkan untuk berpindah serta-merta.

Kebakaran yang dikenali sebagai 'Flat Fire' itu dilaporkan bermula pada Khamis, telah memusnahkan sekitar 21,971 ekar tanah hutan. Pihak berkuasa mengesahkan bahawa tiada sebarang kawalan berjaya dilakukan setakat ini.

Anggota bomba terus berusaha mengekang api daripada mendekati kawasan perumahan, namun keadaan cuaca panas dan angin kencang menyukarkan operasi pemadaman api. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI