fb fb fb fb fb

Banjir besar landa Aden, terburuk dalam tempoh beberapa tahun

Rakaman dron menunjukkan skala kemusnahan di kawasan al-Haswa dan Bir Ahmed, dengan banjir menenggelamkan kawasan perumahan, runtuhan bangunan dan kereta dihanyutkan air/Foto REUTERS

ADEN, 25 Ogos – Hujan lebat yang melanda selatan Aden, Yaman, pada hujung minggu lalu telah menyebabkan banjir besar di kawasan al-Haswa. Insiden itu disifatkan penduduk sebagai bencana alam paling dahsyat dalam tempoh beberapa tahun.

“Kami tidak pernah lihat air naik setinggi ini sebelum ini,” kata seorang penduduk tempatan, Qassim Salim.

Sementara itu seorang lagi penduduk al-Haswa, Ali al-Meshwali berkata, kebanyakkan penduduk tidak dapat pulang kerumah masing-masing kerana tidak lagi selamat untuk didiami.

"Kawasan al-Haswa, dari jalan al-Haswa-Shaab hingga jalan Wasel-Bir Ahmed, adalah yang paling teruk terjejas. Kawasan ini kini dianggap sebagai zon paling rosak, berdasarkan pemerhatian kami di kebanyakan rumah. Penduduk tidak dapat pulang ke rumah masing-masing, dan mereka yang pulang mendapati rumah mereka tidak lagi selamat untuk didiami," katanya.

Hujan lebat pada malam Sabtu lalu itu telah menyebabkan air di lembah al-Haswa melimpah, menenggelamkan rumah, kenderaan, dan mengasingkan seluruh kejiranan daripada dunia luar.

Rakaman dron menunjukkan skala kemusnahan di kawasan al-Haswa dan Bir Ahmed, dengan banjir menenggelamkan kawasan perumahan, runtuhan bangunan dan kereta dihanyutkan air.

Penduduk dilihat meredah air berlumpur untuk menyelamatkan barangan peribadi, cuba mengalihkan kenderaan terbalik, serta membersihkan debu dan runtuhan dari rumah mereka.

Banjir turut menyebabkan gangguan perhubungan dan bekalan asas, termasuk air bersih dan tenaga elektrik, manakala akses ke beberapa kawasan kekal terputus sehingga pagi Isnin.

Setakat ini, pihak berkuasa tempatan belum mengesahkan jumlah korban atau kerosakan rasmi, namun misi pencarian dan bantuan sedang giat dijalankan. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI