fb fb fb fb fb

Kematian di Gaza cecah 62,686 orang

Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, serangan berterusan Israel telah mengorbankan 64 orang dan mencederakan 278 yang lain/Foto AFP

GAZA CITY, 25 Ogos - Angka korban rakyat Palestin di Gaza telah meningkat kepada 62,686 orang, manakala 157,951 lagi cedera.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, serangan berterusan Israel telah mengorbankan 64 orang dan mencederakan 278 yang lain.

Menerusi kenyataan sama, ia turut memaklumkan sejak Israel menyambung semula operasi ketenteraan pada 18 Mac lalu, sebanyak 10,842 nyawa telah terkorban, dengan lebih 45,900 cedera.

Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan bahawa satu daripada briged mereka telah kembali ke kawasan Jabalia di utara Gaza bagi melancarkan operasi ketenteraan baharu.

IDF turut mendakwa telah menemui sebuah terowong bawah tanah yang digunakan oleh pejuang Hamas untuk melancarkan serangan terhadap tentera Israel.

Struktur tersebut kini dimusnahkan bersama kemudahan militan lain, termasuk yang berada di permukaan tanah dan di bawah tanah.

Dalam satu kenyataan berasingan, Hamas mengecam keputusan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang meluluskan serangan baharu ke atas Gaza City, meskipun Hamas sebelum itu telah menerima cadangan gencatan senjata terkini oleh pihak pengantara.

“Keputusan ini membuktikan Israel sengaja menghalang usaha mencapai gencatan senjata,” kata jurucakap Hamas.

Pejabat media berpangkalan di Gaza menyatakan bahawa serangan yang dirancang ke atas Gaza City berlaku ketika lebih 2.4 juta penduduk Palestin sedang berdepan krisis kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI