fb fb fb fb fb

Ribuan kanak-kanak terima vaksin polio di Gaza

Foto AFP

KAHERAH, 2 September - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), dengan kerjasama pihak berkuasa kesihatan Palestin, memulakan program vaksinasi untuk 640,000 kanak-kanak di Semenanjung Gaza dengan Israel dan Hamas bersetuju untuk menghentikan sementara perang mereka yang telah berlangsung selama 11 bulan bagi membolehkan kempen tersebut dilaksanakan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bulan lalu bahawa seorang bayi telah mengalami lumpuh separa akibat virus polio jenis dua, kes pertama seumpamanya dalam wilayah tersebut dalam tempoh 25 tahun.

Kempen bermula di kawasan tengah Gaza dan akan bergerak ke kawasan lain dalam beberapa hari akan datang.

Pertempuran akan dihentikan selama sekurang-kurangnya lapan jam selama tiga hari berturut-turut.

WHO berkata, tempoh berhenti itu kemungkinan perlu dilanjutkan kepada hari keempat dan pusingan pertama vaksinasi akan mengambil masa kurang daripada dua minggu.

Kanak-kanak, yang diiringi ahli keluarga mereka, membanjiri klinik yang dikendalikan oleh PBB di bandar tengah Gaza, Deir Al-Balah, di mana kira-kira sejuta orang berlindung, menurut pegawai Palestin.

Petugas perubatan menandakan jari kanak-kanak yang telah menerima titisan vaksin dengan pen.

Juliette Touma, pengarah komunikasi UNRWA, agensi pelarian Palestin PBB, berkata kempen vaksinasi itu adalah besar dan antara yang paling kompleks di dunia.

"Ini adalah masa untuk pihak-pihak yang terlibat dalam konflik untuk menghormati penghentian sementara ini bagi membolehkan pasukan UNRWA dan petugas perubatan lain memvaksin kanak-kanak dengan dua titisan vaksin yang sangat berharga ini. Ia adalah perlumbaan melawan masa," kata Touma kepada Reuters.

Israel dan Hamas, yang setakat ini gagal mencapai perjanjian untuk menamatkan perang, berkata mereka akan bekerjasama bagi memastikan kejayaan kempen tersebut.

Pegawai WHO berkata sekurang-kurangnya 90 peratus kanak-kanak perlu divaksin dua kali dengan jarak empat minggu antara dos untuk kempen itu berjaya, namun berdepan cabaran besar di Gaza, yang telah musnah sebahagian besar akibat perang.

"Kanak-kanak terus terdedah, ia tidak mengenal sempadan, pos kawalan atau garis pertempuran. Setiap kanak-kanak mesti divaksin di Gaza dan Israel untuk mengekang risiko penyebaran penyakit ganas ini," kata Touma.

Sementara itu, tentera Israel meneruskan pertempuran dengan pejuang yang dipimpin oleh Hamas di beberapa kawasan di wilayah Palestin.

Penduduk berkata, tentera Israel telah meletupkan beberapa rumah di Rafah, berhampiran sempadan dengan Mesir, manakala kereta kebal terus beroperasi di pinggir bandar Zeitoun di Gaza Utara.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN