UDINE, 15 Oktober - Ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin berhimpun di Udine, Itali hanya beberapa jam sebelum perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Itali dan Israel berlangsung di Stadium Friuli, semalam.
Penganjur perhimpunan Committee for Palestine–Udine mendesak agar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantung pasukan Israel daripada semua kejohanan antarabangsa, dengan alasan bahawa pasukan itu menyokong dasar pendudukan terhadap wilayah Palestin.
Mereka turut menegaskan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas baru-baru ini tidak bermakna keamanan sudah tercapai.
“Ada gencatan senjata, tapi belum ada damai,” kata seorang peserta perhimpunan Valentina Bianchi.
Penganjur tetap meneruskan bantahan tersebut walaupun persetujuan pelan damai antara Israel-Hamas telah dicapai baru-baru ini.
Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) memaklumkan hanya sekitar 9,000 tiket telah dijual bagi perlawanan malam itu, jauh lebih rendah daripada kapasiti stadium yang dihadkan kepada 16,000 tempat duduk.