fb fb fb fb fb

Palestin seru dunia sokong usaha keamanan dan pemulihan Gaza

Menteri Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin/REUTERS

ATHENS, 14 Oktober – Menteri Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin menegaskan bahawa peluang untuk mencapai keamanan tidak boleh disia-siakan meskipun terdapat “keyakinan berhati-hati” terhadap pelaksanaan gencatan senjata semasa.

Bercakap selepas pertemuan dengan Menteri Luar Greece, George Gerapetritis di Athens, Shahin berkata pihak Palestin komited melakukan segala usaha bagi memastikan peralihan ke fasa seterusnya dalam proses perdamaian.

Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa agar memperkukuh sokongan kepada Gaza dan Tebing Barat, sambil menyifatkan keperluan kemanusiaan di wilayah berkenaan sebagai “amat besar”.

Dalam pada itu, pejuang Hamas dilaporkan memperkukuh kawalan di Gaza selepas melaksanakan hukuman mati terhadap individu yang dituduh bersekongkol dengan Israel, sekali gus mencabar dakwaan Tel Aviv bahawa perang tidak akan tamat selagi kumpulan itu belum dilucutkan senjata.

Walaupun tentera Israel telah berundur dari kawasan bandar di bawah gencatan senjata, serangan dron dan udara masih berlaku, menyebabkan enam orang terbunuh berhampiran Khan Younis, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Insiden berterusan itu mencerminkan cabaran besar dalam usaha melaksanakan pelan gencatan senjata Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke arah penyelesaian jangka panjang konflik Israel-Palestin. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN