GAZA, 15 Oktober - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan kebimbangan serius berhubung peralatan penting bagi menyelamatkan nyawa di Hospital Kanak-Kanak Al Rantisi musnah akibat perang di Gaza.
Menurut UNICEF, kemusnahan itu melibatkan peralatan rawatan kritikal termasuk ventilator bayi pramatang dan inkubator neonatal, yang sangat penting bagi bayi baru lahir dan kanak-kanak yang memerlukan rawatan rapi.
“Kehilangan peralatan ini bermaksud ribuan kanak-kanak tidak lagi mempunyai akses kepada rawatan perubatan yang mampu menyelamatkan nyawa mereka,” kata UNICEF dalam kenyataan.
Koordinator Kecemasan UNICEF di Gaza, Hamish Young memaklumkan pasukannya telah mencuba beberapa kali untuk mengeluarkan peralatan tersebut dari hospital, namun dihalang oleh keadaan pertempuran dan sekatan akses.
“Pernah sekali kami tidak dapat masuk kerana pertempuran, dan beberapa kali lagi kami tidak diberi kebenaran untuk mengambil peralatan itu,” katanya.
Menurut UNICEF, kerja-kerja pemulihan fasiliti hospital tersebut telah dimulakan pada awal tahun ini.
Ia membolehkan unit kecemasan dan rawatan rapi (ICU) dibuka semula sementara, namun hospital itu sekali lagi diserang pada awal Oktober, hanya beberapa hari sebelum gencatan senjata berkuat kuasa.
Serangan tersebut bukan sahaja memusnahkan semula peralatan perubatan, tetapi turut menyebabkan puluhan pesakit yang kebanyakannya kanak-kanak terpaksa melarikan diri. -REUTERS