ODISHA, 21 Disember- Ribuan calon menyertai peperiksaan pengambilan anggota pengawal sukarela kerajaan (Home Guard) di atas sebuah landasan kapal terbang di Odisha, timur India, pada Selasa.
Rakaman dron menunjukkan barisan panjang calon duduk di atas permukaan jalan tanpa meja atau kerusi, bagi pusingan pertama proses pengambilan tersebut.
Peperiksaan itu merupakan laluan utama untuk menyertai pasukan Home Guard dan hanya memerlukan kelayakan pendidikan asas, sekali gus menarik penyertaan besar setiap kali diadakan.
Penganjuran peperiksaan di lokasi terbuka itu mencerminkan jumlah calon yang tinggi berbanding kemudahan sedia ada, selain menonjolkan persaingan sengit untuk mendapatkan pekerjaan sektor awam.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun di India mencecah 18 peratus pada 2023.
Sementara itu, keseluruhan kadar pengangguran negara direkodkan pada 8.5 peratus pada 2024, menurut badan pemikir swasta Centre for Monitoring Indian Economy (CMIE).
Angka itu meningkat berbanding sekitar enam peratus sebelum pandemik COVID-19, sekali gus mencerminkan cabaran berterusan pasaran pekerjaan di negara tersebut. -REUTERS