fb fb fb fb fb

Australia kaji semula agensi penguat kuasa, perisikan negara

Kajian semula itu akan dijalankan oleh Jabatan Perdana Menteri dan juga Kabinet/ Foto REUTERS

CANBERRA, 21 Disember - Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengarahkan agar agensi penguatkuasaan undang-undang dan perisikan negara dikaji semula, susulan insiden tembakan di Pantai Bondi, Sydney yang meragut 15 nyawa.

Menurut Albanese, kajian semula itu akan dijalankan oleh Jabatan Perdana Menteri serta Kabinet dan diketuai oleh bekas Setiausaha Jabatan Pertahanan dan Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri, Dennis Richardson.

Antara lain, ia akan meneliti sama ada pihak polis dan perkhidmatan risikan mempunyai kuasa, struktur serta aturan perkongsian maklumat yang mencukupi untuk memastikan keselamatan rakyat Australia.

Beliau akan menyokong apa jua tindakan yang diambil oleh New South Wales, namun menolak gesaan untuk menubuhkan suruhanjaya diraja, dengan alasan ia akan melambatkan tindak balas terhadap tragedi tersebut.

"Perbuatan kejam yang diinspirasikan oleh militan Daesh pada Ahad minggu lalu mengukuhkan lagi hakikat bahawa persekitaran keselamatan di negara ini berubah dengan pantas.

"Agensi keselamatan kita mesti berada dalam kedudukan terbaik untuk bertindak balas," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat jawatankuasa keselamatan kabinet.

Kajian semula itu akan disiapkan menjelang akhir April tahun depan dan dapatan kajian akan diterbitkan kepada umum. -REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK