SEOUL, 21 Disember - Korea Selatan pada Ahad melaporkan satu lagi jangkitan selesema burung berpatogen tinggi di sebuah ladang itik di Wilayah Jeolla Selatan, menjadikan kes ke-16 seumpamanya dikesan di ladang ternak ayam itik musim ini, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kes terbaharu itu dikesan di sebuah ladang di Naju, kira-kira 285 kilometer di selatan Seoul, yang menternak 23,000 ekor itik, menurut ibu pejabat pengurusan bencana pusat.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa langkah kuarantin khas sedang dilaksanakan di ladang terjejas serta memperkukuh pemantauan terhadap kemudahan serta kenderaan berkaitan bagi mencegah penularan lanjut penyakit berkenaan.
Mereka juga merancang untuk menjalankan pemeriksaan intensif di lebih 200 ladang itik di wilayah itu bermula Isnin. -BERNAMA-YONHAP