COPENHAGEN, 25 Ogos – Ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin membanjiri pusat bandar Copenhagen dalam satu demonstrasi besar-besaran menyokong Palestin, dengan tuntutan agar perang di Gaza dihentikan serta kerajaan Denmark mengiktiraf negara Palestin.
Perhimpunan aman berhampiran bangunan Parlimen Denmark itu disertai oleh lebih daripada 100 organisasi, termasuk Oxfam, Greenpeace, dan Amnesty International.
Turut serta dalam perarakan itu adalah kesatuan sekerja, parti politik, kolektif seni, dan aktivis alam sekitar terkemuka seperti Greta Thunberg dan orang awam.
Para peserta mengibarkan bendera Palestin, membawa sepanduk dan melaungkan slogan menuntut keadilan untuk rakyat Palestin serta mendesak tindakan diplomatik yang lebih tegas daripada Denmark.
Demonstrasi ini merupakan antara siri perhimpunan global yang semakin meningkat bagi menyuarakan solidariti bersama rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman yang berlaku di Gaza sejak tercetusnya perang antara Israel dan Hamas pada Oktober 2023.
"Penting untuk saya hadir hari ini atas dua sebab. Pertama, untuk menunjukkan kepada ahli politik, mereka perlu bertindak segera mengenai situasi di Gaza. Saya telah menyertai protes sejak awal dan ia menjadi semakin penting. Kedua, saya mahu tunjuk solidariti bersama rakyat Palestin di Gaza," kata salah seorang peserta yang juga ahli sosiologi, Anja Oglebjerg.
Sementara itu, soorang lagi peserta, Nabil Abdulmajid, mahu negara itu menghentikan segala bentuk perdagangan dengan Israel.
"Hari ini kami meningkatkan tekanan ke atas kerajaan supaya menghentikan segala bentuk perdagangan, terutama perdagangan senjata. Kita perlu menaikkan suara kita dengan lebih kuat lagi," katanya.
"Saya rasa ini benar-benar gerakan rakyat, kerana mereka yang berkuasa tidak menghentikan genosid ini. Sebab itu lebih penting untuk kita turun ke jalan, tunjuk kepada semua pemimpin bahawa kita tidak bersetuju dengan apa yang sedang berlaku," kata Michelle Appelros.