fb fb fb fb fb

Israel musnahkan ratusan pokok Zaitun di Tebing Barat

Sebahagian besar pokok yang dimusnahkan adalah pokok zaitun berusia lebih 70 tahun/Foto AFP

AL-MUGHAYYIR, 25 Ogos – Jentolak Israel telah memusnahkan ratusan pokok zaitun di kampung al-Mughayyir, berhampiran Ramallah di Tebing Barat, dalam satu operasi yang disertai oleh pasukan tentera Israel.

Sebahagian besar pokok yang dicabut adalah pokok zaitun berusia lebih 70 tahun, yang merupakan sumber ekonomi dan budaya penting bagi penduduk Palestin di wilayah itu.

Kebun zaitun sejak sekian lama turut menjadi medan pertikaian berpanjangan antara petani Palestin dan peneroka haram Israel.

“Mereka mencabut dan meratakan semuanya atas alasan palsu,” kata Abdelatif Mohammed Abu Aliya, seorang petani tempatan.

Sementara itu, beberapa jentolak kelihatan beroperasi di kawasan berbukit sekitar kampung, turut berada di kawasan berkenaan kenderaan milik tentera rejim Zionis.

“Matlamat mereka ialah untuk menguasai tanah dan memaksa penduduk berpindah. Ini baru permulaan, ia akan merebak ke seluruh Tebing Barat,” kata pengerusi sebuah persatuan pertanian tempatan, Ghassan Abu Aliya.

Insiden ini berlaku ketika ketegangan terus memuncak di Tebing Barat, dengan puluhan penduduk Palestin ditahan dan laporan peningkatan operasi tentera serta keganasan oleh peneroka haram Israel sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI