SANAA, 25 Ogos – Sekurang-kurangnya dua terbunuh, manakala 35 lagi cedera dalam serangan udara Israel, di sini.
Menurut laporan stesen televisyen Al-Masirah, serangan itu menyasarkan bangunan majlis perbandaran di pusat bandar, sasaran lain termasuk stesen janakuasa di selatan Sanaa dan kemudahan syarikat minyak.
"Serangan mencetuskan satu letupan besar disusuli kemusnahan infrastruktur awam dan kebakaran yang mengeluarkan kepulan asap hitam tebal di Sanaa.
"Rejim Zionis kali ini menyasarkan sebuah stesen minyak di Jalan Al-Sittine dengan beberapa serangan udara, serta sebuah stesen janakuasa di selatan ibu kota yang turut diserang pada Ahad lalu," menurut laporan televisyen Al-Masirah.
Serangan terbaharu ini merupakan sebahagian daripada tindakan berbalas-balas serangan dalam tempoh lebih setahun ketegangan antara Israel dan kumpulan Houthi di Yaman, kesan limpahan konflik berpanjangan di Gaza.
Sementara itu, pemimpin kanan Houthi, Abdul Qader al-Murtada, menegaskan bahawa kumpulannya akan terus menyokong rakyat Palestin.
“Israel mesti tahu bahawa kami tidak akan meninggalkan saudara-saudara kami di Gaza, walau apa pun pengorbanannya,” katanya menerusi platform media sosial X.
Dalam pada itu, tentera Israel dalam satu kenyataan mengesahkan serangan itu dilancarkan kononnya sebagai tindak balas terhadap siri serangan oleh kumpulan pejuang Houthi ke atas Tel Aviv dan rakyatnya. - AFP