fb fb fb fb fb

Iran tidak akan tunduk dengan AS - Ali Khamenei

Foto Reuters

TEHRAN, 24 Ogos- Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan bahawa ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS)“tidak dapat diselesaikan” dan republik itu tidak akan tunduk kepada tekanan Washington, lapor media rasmi pada Ahad.

Kenyataan itu dibuat ketika Iran berdepan kebuntuan dengan kuasa Barat berhubung program nuklearnya.

Republik Islam itu sebelum ini menggantung rundingan nuklear dengan AS selepas Washington dan Israel mengebom beberapa kemudahan nuklearnya dalam perang 12 hari pada Jun lalu.

Namun, pada Jumaat (22 Ogos), Iran dan kuasa Eropah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan bagi memulakan kembali rundingan penuh mengenai usaha mengehadkan aktiviti pengayaan uranium Tehran.

Perancis, Britain dan Jerman sebelum ini memberi amaran mereka boleh mengaktifkan semula sekatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Iran melalui mekanisme “snapback” sekiranya Tehran enggan kembali ke meja rundingan.

AS dan negara Eropah menuduh Iran sedang berusaha membangunkan senjata nuklear, namun Tehran menegaskan program itu hanya bertujuan membangunkan tenaga nuklear untuk kegunaan awam. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM