fb fb fb fb fb

Junta Myanmar dakwa jambatan tertinggi negara dibom, TNLA tolak dakwaan

Foto Media Sosial

YANGON, 24 Ogos- Pemerintah tentera Myanmar mendakwa pada Ahad bahawa sebuah jambatan era kolonial yang pernah menjadi jambatan kereta api tertinggi dunia telah dibom dan dimusnahkan oleh kumpulan bersenjata antikudeta.

Sejak rampasan kuasa 2021 yang menyingkirkan kerajaan sivil, Myanmar dilanda perang saudara, dengan tentera berdepan pelbagai gerila pro demokrasi dan kumpulan bersenjata etnik.

Jurucakap junta, Zaw Min Tun berkata dalam kenyataan video kepada media bahawa Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA) dan Pasukan Pertahanan Rakyat telah mengebom dan memusnahkan Jambatan Gokteik.

Jambatan Gokteik, berketinggian 102 meter (334 kaki) di atas gaung merupakan jambatan tertinggi di Myanmar dan pernah menjadi laluan kereta api tertinggi di dunia ketika dibuka pada 1901 semasa era kolonial British.

Video dan foto di media sosial menunjukkan jambatan yang menghubungkan Mandalay dengan negeri Shan utara itu dan menjadi tarikan pelancong mengalami kerosakan dan runtuhan sebahagian.

Seorang jurucakap TNLA menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa tentera junta yang mengebom jambatan itu.

"Tentera Myanmar cuba membom pangkalan kami pagi ini menggunakan dron. Mereka membom anggota kami tetapi bom mereka turut terkena Jambatan Gokteik," kata Lway Yay Oo kepada AFP.

Kawasan bandar berdekatan termasuk Nawnghkio dan Kyaukme menyaksikan pertempuran sengit antara TNLA dan junta dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Junta mendakwa telah menguasai semula Nawnghkio pada Julai lalu. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM