fb fb fb fb fb

Kanada teguh bersama Ukraine, umum bantuan ketenteraan tambahan

Foto Reuters

KIEV, 24 Ogos- Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menegaskan bahawa negaranya akan sentiasa berdiri teguh bersama Ukraine dan menganggap kemerdekaan negara itu sebagai kemenangan bersama Kanada.

Kenyataan itu disuarakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ukraine pada Ahad, di hadapan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, anggota tentera serta tetamu kehormat termasuk Jeneral AS, Kellogg.

Tambah Carney, lebih separuh daripada AS$2 bilion bantuan ketenteraan yang diumumkan ketika sidang kemuncak G7 di Kanada pada Jun lalu akan disalurkan dalam bentuk dron canggih daripada pembekal Kanada serta pembiayaan inisiatif untuk mengukuhkan demokrasi tempatan termasuk menangani serangan digital.

Carney turut menegaskan komitmen bekerjasama dengan rakan Eropah dan Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan kembali, secara segera dan tanpa syarat, kanak-kanak Ukraine yang dilarikan susulan perang dengan Rusia.

“(Presiden Rusia) Putin telah mencetuskan tragedi dahsyat ini yang meragut jutaan nyawa. Putin mengancam ruang udara, bandar dan ladang anda. Putin mencuri anak-anak anda,” katanya sambil menegaskan ekonomi Rusia kini semakin lemah dan pemimpinnya boleh dihentikan.

Carney turut memuji kepimpinan Presiden Donald Trump yang disifatkan sebagai ‘transformasi’, dengan menyatakan keterbukaan Washington dalam mencari jalan menyokong keamanan dan keselamatan jangka panjang Ukraine selaras dengan usaha pakatan G7.

Beliau turut merujuk kepada siri lukisan bertajuk The Ukrainian Pioneer oleh artis Kanada-Ukrainian, William Kurelek, yang menggambarkan kehidupan pelopor Ukraine-Kanada pada 1971, sambil mengingatkan bahawa keamanan tidak boleh diambil mudah.

“Ia mengingatkan rakyat Kanada bahawa perjuangan anda adalah perjuangan kami. Bahawa kemerdekaan anda adalah kemenangan kami,” katanya.

Carney juga tidak menolak kemungkinan penempatan tentera Kanada di Ukraine sebagai sebahagian daripada jaminan keselamatan masa depan, yang kini sedang dirangka antara Ukraine dan sekutunya. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM