HANOI/BEIJING, 24 Ogos- Vietnam mengumumkan rancangan pemindahan lebih setengah juta penduduk serta mengarahkan bot nelayan tidak turun ke laut sebagai persediaan menghadapi Taufan Kajiki yang semakin kuat.
Selain itu, bandar Sanya di selatan China turut menutup perniagaan dan menggantung pengangkutan awam pada Ahad.
Menurut Pusat Meteorologi Negara China, ribut itu dijangka melalui pesisir selatan wilayah pulau Hainan pada petang hingga malam Ahad sebelum bergerak menuju Vietnam.
Ribut berkenaan dijangka terus menguat sehingga mencecah 180 km/j.
Pihak berkuasa Vietnam merancang untuk memindahkan lebih 586,000 orang dari wilayah tengah Thanh Hoa, Quang Tri, Hue dan Danang, iaitu kawasan yang diramal menjadi lokasi taufan melanda awal pagi Isnin.
Kerajaan Vietnam turut menasihati penduduk di kawasan yang dijangka terjejas agar tidak keluar rumah selepas pukul 2.00 petang waktu tempatan pada Ahad manakala anggota tentera akan ditempatkan untuk membantu operasi kecemasan.
Akhbar Tien Phong melaporkan tujuh wilayah pesisir Vietnam telah melarang bot keluar ke laut pada pagi Ahad.
Dalam pada itu, syarikat penerbangan Vietnam Airlines membatalkan sekurang-kurangnya 22 penerbangan keluar masuk dari bandar-bandar tengah pada Ahad dan Isnin manakala Vietjet Aviation turut mengumumkan pembatalan atau kelewatan penerbangan tanpa memberikan butiran lanjut. -REUTERS