fb fb fb fb fb

Pengasas bersama Airbnb dilantik Ketua Reka Bentuk Trump

Joe Gebbia, dilantik sebagai ketua bahagian baharu dikenali sebagai National Design Studio bagi meningkatkan keberkesanan dan reka bentuk perkhidmatan digital kerajaan persekutuan / REUTERS

WASHINGTON, 24 Ogos - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melantik pengasas bersama Airbnb, Joe Gebbia, sebagai ketua bahagian baharu dikenali sebagai National Design Studio bagi meningkatkan keberkesanan dan reka bentuk perkhidmatan digital kerajaan persekutuan.

Dalam kenyataan di platform X pada Sabtu, Gebbia berkata beliau berhasrat menjadikan laman sesawang kerajaan lebih moden, mesra pengguna dan mempunyai pengalaman setanding platform digital komersial seperti Apple App Store.

“Pengalaman yang mencerminkan tahap kecemerlangan negara, dan memudahkan kehidupan rakyat Amerika,” katanya.

Banyak laman sesawang agensi kerajaan AS dilaporkan direka oleh penyedia kos terendah, sekali gus menjadikannya sukar digunakan dan kurang dikemas kini sejak bertahun lamanya.

Menurut perintah eksekutif yang ditandatangani Trump, National Design Studio akan beroperasi selama tiga tahun dengan mandat memperbaiki “kebolehgunaan dan estetika” perkhidmatan digital kerajaan persekutuan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE