fb fb fb fb fb

Republik Czech, Poland pantau ruang udara Slovakia

(Jet pejuang Poland F-16 terbang di atas Pangkalan Udara Malacky, Slovakia/ REUTERS)

SLOVAKIA, 28 Ogos- Slovakia semalam menandatangani perjanjian bagi membenarkan dua negara jirannya di bawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu Republik Czech dan Poland mengawal ruang udara negara itu.

Ia selepas Bratislava bertindak menarik balik pesawat MiG-29 buatan Sovietnya daripada perkhidmatan, keputusan yang berpotensi melepaskan pesawat lama itu untuk dihantar ke Ukraine.

Slovakia sebelum ini memaklumkan, ia bersedia untuk menghantar 11 jet pejuang MiG ke Ukraine, yang mana tenteranya sejak sekian lama bergantung kepada peralatan era Soviet dan sudah merayu untuk mendapatkan lebih banyak bekalan daripada negara NATO bagi meningkatkan keupayaannya memerangi serangan tentera Russia.

Menteri Pertahanan Slovakia, Jaroslav Nad ketika pertunjukan udara semalam memberitahu pemberita, Bratislava tetap bersedia untuk menghantar pesawat ke negara jiran Ukraine, namun belum ada perjanjian yang dicapai.

"Terdapat kemahuan politik dan ia sesuatu yang wajar untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.

"Kemungkinan itu ada dan apabila ada perjanjian, kami akan memaklumkan kepada anda," kata Nad.

Negara Barat dan sekutu mereka meningkatkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine melalui wang tunai, peralatan dan latihan, dalam konflik yang berlarutan dengan Russia selama lebih enam bulan itu.

Slovakia, dengan populasi 5.4 juta sebelum ini menyumbang sistem pertahanan udara S-300, helikopter tentera siri Mi, kenderaan meriam dan pelancar roket Grad.

Minggu ini, negara itu memaklumkan akan menghantar 30 kenderaan tempur infantri BVP-1.Nad, yang menilai harga MiG pada kira-kira 300 juta euro (RM1.3 bilion), berkata Slovakia akan mendapatkan pampasan kewangan atau material untuk sumbangannya bagi menyokong pemodenan tentera negara itu.

Di bawah perjanjian dengan Slovakia Sabtu lalu, Republik Czech dan Poland akan mengawal ruang udara negara itu mulai September ini, sementara Slovakia menunggu penghantaran 14 pesawat pejuang F-16 buatan AS.

Perjanjian bagi perolehan F-16 ditandatangani pada 2018 dan jet itu akan dihantar pada 2024. - REUTERS


(Sebuah jet pejuang MiG-29 buatan Rusia mendarat di Pangkalan Udara Malacky, Slovakia/ REUTERS)

Media Baharu