fb fb fb fb fb

Serangan dua bom di Gaza dahsyat, sukar digambarkan - saksi

Mayat mangsa pengeboman di pasar awam dan restoran di Gaza/ Reuters

GAZA, 9 Mei- Saksi kejadian dua bom yang menyasarkan pasar awam dan restoran berdekatan bandar Gaza menggambarkan ia sebagai kejadian ganas dan kemusnahan yang sengaja dicipta rejim Zionis Israel.

Kejadian pada Rabu itu meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa dan mencederakan 80 individu lain di kawasan itu.

Satu daripada bom itu dijatuhkan di sebuah restoran ketika ramai pengunjung berada di kawasan berkenaan.

Rakaman dariapada seorang penduduk tempatan menunjukkan ramai yang mati dan cedera di hadapan restoran selepas serangan itu.

Menurut seorang penjual yang berada di lokasi kejadian, Anas Al-Banna, kejadian yang berlaku itu secara tiba-tiba.

"Kami berada di sini untuk menjual barangan di gerai kami. Pada awalnya semuanya kelihatan seperti biasa. Saya berjalan di sepanjang jalan menjual pudina kemudian bom tiba-tiba jatuh dari langit.

"Saya melempar barangan jualan ke tanah dan berlari menyelamatkan diri. Hampir semua orang yang berada di pasar maut. Bom berkenaan mengorbankan lebih 30 orang. Semua peniaga berjaya menyelamatkan diri," kata Anas.

Menurut Anas keputusan untuk berada di sana berikutan jaminan diberikan Israel bahawa kawasan tersebut selamat.

"Ini adalah pasar awam. Semua orang di sini adalah pelarian. Tentera Israel memberitahu kami kawasan ini selamat. Tetapi selepas kami datang, kami diserang. Tidak kira ke mana kami pergi, kami akhirnya menjadi sasaran," tambahnya.

Sementara itu seorang lagi saksi kejadian Ashraf Zaher berkata, serangan berkenaan sangat tragik kerana dia melihat sendiri pengeboman kejam itu.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan kejadian itu. Mayat di merata tempat, masa yang panjang juga diperlukan untuk ambulans tiba.

"Semua orang ketakutan mungkin ada serangan kedua. Sejujurnya, kejadian ini sukar digambarkan dengan kata-kata. Tiada siapa yang mungkin dapat menanggungnya," kata Ashraf Zaher.

Individu yang cedera dan mayat dibawa ke Hospital Al-Shifa berdekatan yang juga dipenuhi dengan keluarga mangsa.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI