PAKISTAN, 9 Mei- Penduduk kampung di Punjab Pakistan berhampiran sempadan dengan India telah memindahkan wanita, kanak-kanak dan orang tua ke kawasan lebih selamat berikutan peningkatan permusuhan antara Pakistan dan India.
Mereka yang tinggal kebanyakannya lelaki yang masih berada di kampung halaman untuk menjaga ternakan dan tanaman.
Penduduk kampung, Mohammad Aman berkata, kebanyakan penduduk yang tidak berpindah mahu menuai baki hasil tanaman.
"Sesetengah penduduk kampung sempadan berpindah ke tempat lebih selamat. Masa sangat singkat untuk berbuat demikian, jadi orang ramai tidak boleh membawa barangan masing-masing.
"Sekarang adalah musim menuai gandum dan 30 hingga 40 peratus sisa tuaian masih berbaki. Jadi, orang ramai terpaksa memindahkan wanita, kanak-kanak dan orang tua ke tempat yang lebih selamat," katanya.
Bagi Maqsood Ahmed, dia bersedia menghadapi apa juga kemungkinan sekiranya terpaksa berdepan serangan.
"Semua lelaki ada di sini. Hanya wanita dan kanak-kanak sahaja yang pergi. Semua lelaki ada di sini.
"Mereka yag berpindah tidak membawa apa-apa barangan, sekiranya perang meletus, kita akan berperang dengan mereka (India)," katanya.
Sementara itu penduduk Kampung Bhanu Chak, Mohammad Arif berkata, "tidak perlu takut."
"Kami berdiri dengan angkatan tentera kami dan insya-Allah, kami akan berdiri teguh bersama mereka," katanya.
Kebimbangan semakin meningkat berikutan serangan maut di Kashmir pada 22 April lalu.
Kejadian itu menyebabkan New Delhi menuduh Islamabad, namun ia telah dinafikan dan menggesa siasatan neutral.- Reuters