(FOTO AFP)
TRIPOLI, 28 Ogos- Sekurang-kurangnya 23 terbunuh dalam pertempuran antara penyokong kerajaan saingan Libya yang turut merosakkan enam hospital di Tripoli, semalam.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan krisis politik boleh merebak menjadi konflik bersenjata baharu yang besar.
Tembakan senjata dan letupan menggegarkan beberapa daerah di ibu negara itu sepanjang malam dan memasuki semalam, dengan asap dilihat dilihat naik dari bangunan yang rosak.
Bagaimanapun, seorang wartawan AFP berkata, situasi tenang namun masih berwaspada mula kembali pada malam tadi.
Ketua kerajaan di Tripoli, Abdulhamid Dbeibah, menyiarkan video menunjukkan dirinya dikelilingi pengawal peribadi dan memberi salam kepada pejuang yang menyokongnya.
Dalam angka yang dikemas kini kementerian kesihatan di Tripoli berkata 23 orang terbunuh dan 140 cedera dalam pertempuran itu.
(Kenderaan yang rosak di sebatang jalan di Tripoli berikutan pertempuran antara kumpulan
yang bersaing/ AFP)
Enam hospital rosak dan ambulans tidak dapat sampai ke kawasan yang terjejas akibat pertempuran, kata kementerian itu sebelum ini dan mengutuk 'jenayah perang' berkenaan.
Dua pentadbiran yang bersaing untuk menguasai negara Afrika Utara itu dan sumber minyaknya yang luas, dengan satu berpangkalan di ibu negara, manakala satu lagi diluluskan parlimen di timur negara itu, menuduh antara satu sama lain.
Misi Libya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa 'penamatan serta-merta permusuhan', memetik 'pertempuran bersenjata yang berterusan termasuk bedilan sederhana dan besar secara sembarangan di kawasan kejiranan penduduk awam'.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Richard Norland, dalam satu kenyataan, berkata Washington 'mengutuk' lonjakan insiden keganasan itu dan menggesa 'gencatan senjata segera serta rundingan yang akan dibantu PBB antara pihak yang berkonflik'.
Agensi berita Lana memaklumkan pelakon, Mustafa Baraka terbunuh di salah satu kawasan kejiranan yang dilanda pertempuran itu, mencetuskan kemarahan dan perkabungan di media sosial. - AFP