TOULOUSE, 16 Disember - Seorang remaja lelaki Britain berusia 17 tahun yang ditemui di Perancis enam tahun selepas hilang di Sepanyol akan pulang ke England pada hujung minggu ini, kata Timbalan Pendakwa Raya Perancis pada Jumaat.
Alex Batty, dari bandar Oldham di utara England, telah diambil oleh pemandu di kawasan pergunungan di selatan Perancis.
Pemeriksaan yang dilakukan polis Perancis dan British telah mengesahkan identitinya.
Polis berkata mereka mengesyaki ibunya, Melanie Batty, yang tidak mendapat hak penjagaan dan datuknya, David Batty telah menculik budak lelaki itu pada 2017 ketika dia berusia 11 tahun dengan alasan pergi bercuti di Sepanyol.
“Dia akan diserahkan semula kepada nenek sebelah ibunya (Sabtu) atau selewat-lewatnya pada (Ahad),” kata Timbalan Pendakwa Raya Wilayah Toulouse, Antoine Leroy.
Nenek Alex tidak dapat melakukan perjalanan dan oleh itu kedua-duanya akan disatukan di United Kingdom (UK), katanya, sambil menambah pihaknya telah berhubung dengan kedutaan Britain memaklumkan mengenai perkara tersebut.
Nenek Alex, Susan Caruana, yang merupakan penjaga sahnya, menurut laporan media Britain menyatakan kelegaan dan gembira dengan penemuan cucunya itu.
“Saya bercakap dengannya malam tadi dan saya sangat gembira mendengar suaranya dan melihat wajahnya semula. Saya tidak sabar untuk melihatnya apabila kami bersatu semula,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis Greater Manchester.
Selama enam tahun, termasuk dua di Perancis, Alex, ibu dan datuknya telah menjalani kehidupan "nomad" dalam "komuniti spiritual" dan tidak pernah tinggal lebih daripada beberapa bulan di tempat yang sama.
Alex memberitahu pasukan penyiasat bahawa dia tidak mengalami sebarang keganasan fizikal dalam tempoh enam tahun yang lalu, namun telah "didera secara seksual ketika dia berumur lima atau enam tahun."
Sykes, dari Greater Manchester Police, berkata bahawa Alex telah bercakap dengan neneknya melalui panggilan video pada malam Khamis.
"Walaupun dia berpuas hati bahawa ini memang Alex, kami jelas mempunyai pemeriksaan lanjut yang perlu dilakukan apabila dia kembali ke United Kingdom," tambahnya.-AFP