fb fb fb fb fb

Negara Barat, EU gesa Israel hentikan keganasan di Tebing Barat

Runtuhan bangunan yang musnah semasa operasi tentera Israel di kem pelarian Jenin / Foto AFP

PARIS, 16 Disember - Negara-negara Barat dan Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat menggesa Israel supaya mengambil langkah konkrit untuk menghentikan keganasan yang belum pernah berlaku sebelum ini oleh Israel di Tebing Barat, dalam satu kenyataan bersama yang diterbitkan oleh Kementerian Luar Perancis.

Seruan itu antaranya dari Australia, Britain, Kanada, Perancis, Kesatuan Eropah dan beberapa negara Eropah yang lain tidak termasuk Jerman dan Amerika Syarikat telah menyerlahkan sejumlah serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh pelampau sejak awal Oktober.

Mengulangi bahawa dasar penempatan Israel "adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa," kenyataan turut berkata bahawa "sebagai kuasa pendudukan, Israel mesti melindungi orang awam Palestin di Tebing Barat" dan "membawa mereka yang bertanggungjawab atas keganasan ini ke muka pengadilan."

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari selepas ketua EU, Ursula von der Leyen menyokong sekatan yang dikenakan ke atas Israel walaupun tidak semua daripada 27 negara blok itu bersetuju.

Walaupun beberapa anggota seperti Sepanyol telah mengkritik secara tajam tindak balas Israel terhadap serangan 7 Oktober oleh Hamas, beberapa negara lain termasuk Jerman berdiri teguh di belakang negara itu.

Israel telah menduduki Tebing Barat sejak perang Arab-Israel 1967 dan beberapa bulan kebelakangan ini tentera telah melakukan serbuan maut berulang kali ke atas kem pelarian Jenin di wilayah utara.

Lebih daripada 280 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera atau peneroka Israel di Tebing Barat sejak perang di Gaza meletus pada 7 Oktober, kata pegawai kesihatan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN