fb fb fb fb fb

Remaja perempuan maut diserang jerung

SYDNEY, 5 Februari- Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun maut selepas diserang jerung di ibu negara Australia Barat, Perth pada Sabtu.

Polis berkata mereka ke tempat kejadian kira-kira 3.45 petang di jambatan trafik Sungai Swan, di kawasan pelabuhan Fremantle di Perth.

Gadis itu mengalami kecederaan kritikal dan meninggal dunia di tempat kejadian, kata polis dalam satu kenyataan.

Polis percaya mangsa berada bersama rakan-rakannya terjun dari jet ski untuk berenang bersama sekumpulan ikan lumba-lumba di sungai ketika serangan itu berlaku.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak pasti jenis jerung yang menyerang gadis itu, lapor Australian Broadcasting Corp.

Orang ramai diminta supaya lebih berhati-hati di Sungai Swan di sekitar Fremantle susulan kejadian itu.

Serangan jerung yang mengakibatkan kematian terakhir di perairan Australia Barat adalah pada November 2021, apabila seorang lelaki berusia 57 tahun diserang jerung putih di pantai pelabuhan Perth.

Seorang lelaki cedera parah diserang jerung lembu ketika berenang di Sungai Swan pada Januari 2021.

Lebih daripada 100 spesies jerung hidup di perairan Australia barat antaranya jerung lembu sering ditemui di hulu sungai.

Menurut kerajaan negeri, risiko serangan jerung rendah, namun unit tindak balas jerung khusus untuk bekerjasama dengan responden pertama mengenai insiden jerung telah ditubuhkan.

Di beberapa pantai Sydney, termasuk Bondi dan Bronte ditutup selepas seorang perenang terbunuh dalam serangan jerung, kematian itu merupakan pertama kali dalam tempoh hampir 60 tahun.-REUTERS

(Foto hiasan)

Media Baharu