EVRY, 5 April- Seorang remaja berusia 15 tahun cedera akibat dipukul dengan teruk di sebuah bandar di selatan Paris dan dikejarkan ke hospital berikutan serangan jantung dalam insiden terbaharu keganasan sekolah di Perancis.
Serangan semalam itu berlaku semasa ketegangan memuncak di sekitar sekolah Perancis.
Insiden itu berlaku pada awal minggu ini yang membabitkan seorang remaja perempuan yang kini koma selepas dipukul di luar sekolahnya di selatan tanah air.
Dalam kejadian baharu yang berlaku di bandar Viry-Châtillon, terletak sekitar 20 kilometer selatan Paris itu, seorang remaja lelaki diserang beberapa orang ketika dia meninggalkan sekolah pada petang semalam.
Pejabat pendakwa raya berkata, pihaknya sudah membuka siasatan ke atas cubaan membunuh dan serangan berkumpulan.
Sumber polis memaklumkan pelajar sekolah itu mengalami serangan kardiorespiratori.
Datuk Bandar Viry-Châtillon, Jean-Marie Vilain berkata mangsa dikejarkan ke hospital Necker iaitu hospital kanak-kanak terkemuka di Paris.
Menurut Vilian, penyerang 'cuba membunuhnya' sambil menggambarkan 'jenis samseng paling teruk'.
"Keganasan melampau ini menjadi perkara biasa," katanya.
Menurut Vilian, bantuan psikologi akan diberikan kepada pelajar dan guru sekolah itu di mana remaja itu sedang belajar.
Menurut sumber polis, remaja itu dipukul oleh beberapa orang yang kemudiannya bertindak melarikan diri.
Murid itu ditemui di jalan 'tidak jauh dari sekolahnya', menurut pendakwa raya.Sekolah terbabit terletak di daerah kelas pekerja Viry-Châtillon, yang didiami kira-kira 30,000 orang.
Tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Selasa lalu, seorang remaja perempuan diserang di luar sekolahnya di bandar selatan Montpellier.
Pendakwa raya berkata, pelajar itu cedera parah.
Tiga penyerang yang didakwa ditahan kerana disyaki cubaan membunuh seorang kanak-kanak bawah umur.
Salah seorang tertuduh adalah pelajar perempuan dari sekolah sama.
Berpuluh-puluh mesej berbaur ancaman serangan dihantar ke sekolah-sekolah di sekitar Perancis dalam beberapa hari kebelakangan ini. - AFP