fb fb fb fb fb

Real, Barca rebut slot ke final Piala Super Sepanyol

RIYADH, 12 Januari - Barcelona dan Real Madrid akan berentap dalam pertarungan El Clasico kedua musim ini apabila turun beraksi di separuh akhir Piala Super Sepanyol di Riyadh, Arab Saudi awal pagi esok.

Pertemuan pertama El Clasico dalam kempen La Liga Oktober tahun lalu berpihak kepada Real selepas skuad kendalian Carlo Ancelotti itu menang 2-1 ke atas Barcelona yang ketika itu dibimbing bekas jurulatih, Ronald Koeman.

Namun, prestasi Barca kini dilihat lebih meningkat di bawah jurulatih baharu, Xavi Hernandez dan pastinya kelab Catalan itu mahu menebus kekalahan pertama kepada seteru utama itu.

Real pula mempamer prestasi menakjubkan musim ini apabila selesa mendahului saingan liga dengan 17 mata ke atas musuh tradisi mereka, Barca yang berada di tempat keenam.

Pasukan yang menang pada pertemuan esok akan berdepan pemenang satu lagi separuh akhir di antara juara bertahan, Athletic Bilbao dan Atletico Madrid pada final Isnin nanti.

Piala Super Sepanyol yang sebelum ini menemukan juara La Liga dan juara Piala Raja Sepanyol, diadakan dalam format baharu secara kalah mati melibatkan 4 pasukan terbaik.

Ia diadakan di Arab Saudi sejak 2019 dengan Real menewaskan Atletico di final, manakala edisi 2020 pula diadakan di Sepanyol susulan pandemik COVID-19.

Media Baharu