GOLD COAST, 10 Mac- Hujan lebat akibat sisa Taufan Alfred membanjiri sebahagian besar pantai timur Australia hari ini, ketika pekerja bertungkus-lumus memulihkan bekalan elektrik ke lebih 200,000 rumah dan premis perniagaan.
Walaupun sistem cuaca semakin lemah, pihak berkuasa mengeluarkan beberapa amaran banjir dan cuaca buruk di sepanjang 400 kilometer kawasan pantai yang meliputi Queensland dan New South Wales.
Jabatan Meteorologi memaklumkan tekanan tropika itu mencurahkan hujan setinggi 30 sentimeter dalam tempoh 24 jam di Brisbane, ibu negeri Queensland.
Banjir menenggelamkan beberapa jalan di bandar berpenduduk 2.5 juta itu, menyebabkan kenderaan separa tenggelam di kawasan paling teruk terjejas.
Menurut Perdana Menteri negeri itu, David Crisafulli, pasukan penyelamat Queensland berjaya menyelamatkan 17 individu daripada arus deras semalaman.
"Hujan ini menyebabkan banjir kilat dan juga banjir sungai di beberapa bahagian tenggara.
"Kami menggesa orang ramai untuk terus berhubung kerana kemungkinan banjir lebih buruk hari ini," katanya pada sidang media.
Pakar ramalan cuaca, Jonathan How memaklumkan hujan lebat, banjir kilat dan banjir sungai dari tahap sederhana hingga besar masih menjadi risiko.
"Semua ini berpunca daripada sisa bekas Taufan Tropika Alfred," katanya kepada AFP.
"Walaupun telah melintasi pantai tenggara Queensland pada Sabtu lalu, ia bergerak perlahan dan masih menarik banyak kelembapan."
Dalam pada itu, syarikat utiliti melaporkan lebih 210,000 rumah dan premis perniagaan di Queensland masih terputus bekalan elektrik, manakala 10,000 lagi di New South Wales.
Di New South Wales, Essential Energy memaklumkan kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di seluruh kawasan yang terjejas, termasuk membersihkan pokok tumbang di talian elektrik, mendirikan semula tiang elektrik, menggantikan peralatan elektrik dan menyambung semula kabel elektrik.- AFP